FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Polis sudah mengemukakan 30 permohonan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membuat pemotongan bekalan elektrik terhadap premis yang menjalankan aktiviti haram termasuk perjudian dalam talian.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, setakat ini sebanyak 12 premis yang melakukan aktiviti perjudian di Perak sudah diambil tindakan.

Menurutnya, baki 18 premis lagi akan dikenakan tindakan sama termasuk pemotongan bekalan elektrik.

"Pihak polis memandang serius perkara ini dan kita mahukan negeri (Perak) ini bebas daripada sebarang aktiviti perjudian terutama perjudian dalam talian.

"Perjudian di Perak setakat ini tidak serius, namun saya menyarankan dan memberi arahan kepada semua Ketua Polis Daerah (KPD) agar segera bertindak sekiranya menerima maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kerian antara Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dengan Superintendan Mazuki Mat.

Pada 30 Ogos lalu, media melaporkan tiga premis di Tanjung Rambutan, Menglembu dan Pasir Pinji yang menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen diambil tindakan.

Dalam operasi itu, tindakan TNB memotong bekalan elektrik di premis terbabit mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 3:52 PM