FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas pelbagai barangan bernilai hampir RM1.3 juta sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata, ia susulan serbuan dan pemeriksaan terhadap 51,160 premis perniagaan termasuk pengilang, pemborong dan peruncit.

Katanya, sebanyak 668 kes berjaya dikesan dalam tempoh berkenaan membabitkan kompaun bernilai RM189,750.

"Daripada 668 kes, sebanyak 116 kes membabitkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Manakala selebihnya membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, pihaknya turut merekodkan 40 kes daripada 1,747 pemeriksaan dalam tempoh 13 hari bermula 1 Januari lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, kompaun bernilai RM4,700 turut dikeluarkan.

"Seramai 117 pegawai penguat kuasa dan 58 pegawai pemantau harga digerakkan untuk melakukan pemantauan dan operasi di seluruh Terengganu. Ia bukan dilakukan ketika kita menerima aduan pengguna sahaja, sebaliknya sepanjang masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 2:07 PM