Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Tindakan tegas menanti peniaga kedai makan di Terengganu yang menaikkan harga makanan dan minuman tidak munasabah.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu (KPDNHEP) negeri, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya mempunyai pasukan yang memantau secara berterusan peniaga yang ingkar.

"Penguat kuasa dan skuad pemantau harga KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan, tetapi setakat ini belum ada sebarang tindakan diambil kerana peniaga dilihat masih mematuhi peraturan.

"Kita juga tidak menerima aduan pengguna mengenai mana-mana kedai makan yang mengenakan harga tidak munasabah.

"Namun, kita memberi amaran sekiranya berlaku kes sedemikian pihak kami boleh menyiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya pada sidang media selepas Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di sini, hari ini.

Saharuddin berharap peniaga kedai makan lebih prihatin dan menggunakan kaedah menang-menang dalam menentukan harga makanan dan minuman dijual.

Dalam pada itu, mengenai JMKM, katanya, jumlah jualan cecah RM10.1 juta dicatatkan sepanjang penganjurannya di Terengganu pada 4 Disember hingga 12 Ogos lalu, yang membabitkan 184,560 pengunjung.

"JMKM di Terengganu dilaksana berterusan setiap minggu, membolehkan pengguna membeli barang keperluan harian pada harga lebih murah, sekali gus meringankan beban mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 2:11 PM
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, ketika meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia, di Pasaraya Q Mart. FOTO NAZDY HARUN
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, ketika meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia, di Pasaraya Q Mart. FOTO NAZDY HARUN