MOHD Solihin Badri
MOHD Solihin Badri
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berikutan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyokong mempertahankan kestabilan politik di negeri itu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri berkata, Menteri Besar (Datuk Ir Hasni Mohammad) juga disaran tidak terpengaruh dengan pihak di luar kerajaan.

Menurutnya, Hasni juga perlu yakin dengan sokongan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) yang teguh mempertahankan kerajaan negeri sedia ada supaya pelan pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan rakyat.

"Justeru, semua pihak diminta jangan lagi membuat sebarang spekulasi mengenai tarikh lain berhubung PRN Johor sehingga satu tempoh yang lebih sesuai apabila rakyat boleh menilai prestasi Kerajaan Negeri pimpinan Hasni.

"Bersatu Johor tidak bimbang dengan kedudukan kerajaan negeri sedia ada walaupun mempunyai majoriti satu kerusi di DUN selagi mana kerajaan melaksanakan pelan pembangunan, membuat keputusan yang tepat serta memanfaatkan rakyat dan kekal berintegriti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Solihan berkata, wakil Pakatan Harapan (PH) dalam DUN Johor turut bersetuju dengan kerajaan negeri apabila menyokong Bajet Negeri Johor 2022.

"Selain itu persetujuan turut dicapai ketika pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 pada 6 Januari 2022 lalu, bagi menurunkan had umur warga negara yang layak menjadi Adun di Johor daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

"Oleh itu, keutamaan Datuk Hasni sekarang adalah meningkatkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri kerana ia menjadi kunci untuk dinilai, diterima dan disokong bukan sahaja rakyat malah wakil PN dan PH dalam DUN Johor sebagaimana sokongan mereka kepada bajet negeri serta pindaan, baru-baru ini," katanya.

Katanya, dengan prestasi baik dan mendapat sokongan semua pihak termasuk wakil PN dan PH, maka tidak lagi berbangkit soal Hasni tidak selesa atau bimbang dengan kedudukan kerajaan negeri yang beliau pimpin walaupun hanya dengan kelebihan satu kerusi.

"Sebaliknya, wajar untuk Hasni tidak lagi membuat kenyataan mengenai kebimbangan atau ketidakselesaan tersebut dan mengelak daripada terbabit dalam spekulasi PRN Johor kerana rakyat melihat tindak-tanduk beliau selain boleh menjejaskan keyakinan pelabur untuk ke Johor.

"Beliau sewajarnya menegaskan tetap yakin untuk terus mentadbir Kerajaan Negeri, melaksanakan pembangunan negeri dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 walaupun dengan kelebihan satu kerusi di DUN.

"Lagipun, Menteri Besar akan menetapkan tugasan kepada Exco kerajaan negeri Johor untuk dilunaskan dan KPI yang perlu dicapai bagi 2022 meliputi penyediaan infrastruktur, membawa masuk pelabur, meningkatkan taraf sosioekonomi, menangani kemiskinan bandar serta menumpukan soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat termasuk anak yatim yang kehilangan ibu bapa kerana menjadi mangsa Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 10:54 PM