HASNI (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran AirAsia Super Apps. FOTO Nurul Amanina Suhaini
HASNI (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran AirAsia Super Apps. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad tidak menolak keperluan bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor namun pada masa sama menegaskan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkata, apabila kerajaan Johor memiliki majoriti amat tipis, pihaknya perlu lebih sensitif terhadap kestabilan kerajaan.

"Mengenai keperluan mengadakan PRN ini, saya tidak boleh tolak. Kita perlu kaji dan perlu tengok perkara terbabit. Suara daripada pelbagai pihak tidak boleh diabaikan.

"Tidak boleh menganggap semua bersetuju atau menggunakan bentuk kaedah untuk mencapai keputusan.

"Kita (kerajaan negeri) tidak boleh sewenang-wenangnya untuk menasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk bubar DUN. Ia ada peraturannya, ada syarat-syaratnya. Jadi ini harus dipatuhi dan tidak boleh sesuka hati nak mengisytiharkan atau menasihat bubar ke tidak payah bubar dan sebagainya.

"Saya akan berpegang kepada peraturan yang sudah ditetapkan oleh undang-undang kerajaan negeri (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri) dan keperluan yang sudah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang meminta beliau menamatkan spekulasi sama ada PRN Johor akan diadakan atau tidak.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran AirAsia Super Apps di sini, hari ini.

Hasni turut enggan mengesahkan desas-desus PRN Johor akan diadakan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

"Saya kira justifikasi kenapa PRN itu perlu diadakan lebih penting daripada bila ia patut diadakan," katanya.

Apabila ditanya sama ada Umno Johor sudah mengadakan perbincangan mengenai PRN Johor, beliau berkata, sehingga kini belum ada.

Hasni berkata, majoriti tipis yang dimiliki kerajaan Johor memerlukan pihaknya lebih berhati-hati.

"Untuk menstabilkan kerajaan ia memerlukan saya lebih sensitif supaya program bagi membangunkan ekonomi negeri, program menjayakan rancangan yang sudah disusun itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Johor lebih-lebih lagi, kalau ada pihak yang menjadikan kestabilan kerajaan negeri itu sebagai prasyarat untuk datang melabur, untuk perluaskan pelaburan, tentulah saya perlu mencari langkah supaya itu tidak menjadi alasan kepada pelabur untuk mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Untuk rekod, terdapat 56 kerusi di DUN Johor, dengan agihan terkininya adalah Umno dan DAP masing-masing 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (dua), Pas (satu), sementara Amanah (enam) dan PKR (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Adun Kempas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 6:16 PM