ABD Hamim atau Long Tiger.
ABD Hamim atau Long Tiger.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Polis Melaka giat meneruskan usaha membantu Polis Kontinjen Johor dalam mengesan seorang lelaki dikenali 'Long Tiger' yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Azlan Abu berkata, sehingga petang ini belum ada tangkapan dibuat pihaknya walaupun ada menerima maklumat lelaki warga Myanmar itu Abd Hamim Abd Hamid, 33, dikatakan berada di negeri ini.

"Kita ada terima maklumat tetapi apabila pasukan polis pergi (ke lokasi) tiada (suspek) kosong dan sekiranya suspek berjaya ditahan semula kita akan maklum.

"Namun, usaha mengesan masih dijalankan dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin terutamanya dan IPD Melaka Tengah serta IPD Alor Gajah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak mendapatkan bantuan daripada beberapa IPD berhampiran bagi usaha mengesan 'Long Tiger' yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat dilapor berkata, bantuan berkenaan membabitkan anggota daripada IPD Muar, Segamat dan Jasin, Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 6:23 PM