Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyantuni Ainul Nuraishah dan menyampaikan mesin bantuan pernafasan. FOTO ihsan YBR
Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyantuni Ainul Nuraishah dan menyampaikan mesin bantuan pernafasan. FOTO ihsan YBR

Kuala Lumpur: Bagi meringankan beban keluarga Ainul Nuraisyah Affendi, 11, yang menghidap penyakit paru-paru kronik atau Bronkiolitis Obliterans, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyumbangkan mesin bantuan pernafasan, baru-baru ini.

Ainul yang menghidap penyakit itu sejak berusia setahun terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan untuk terus bernafas.

Penyakit itu boleh membahayakan nyawa jika lewat dirawat malah Ainul juga mudah dijangkiti kuman serta penyakit lain.

Disebabkan penyakit itu, Ainul tidak dapat menikmati kehidupan sama seperti rakan sebaya dan tidak dibenarkan bermain di luar rumah.

Bapa Ainul adalah anggota tentera manakala ibunya bekerja sendiri menyebabkan keluarga itu mengalami kekangan perbelanjaan dan kekurangan pendapatan terutama impak pandemik Covid-19.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya terpanggil membantu Ainul selepas menerima permohonan bantuan daripada ibunya, Malafarizan Mohamad, 38.

"Dengan pemberian bantuan alat pernafasan bernilai RM4,200 ini, diharapkan dapat membantu mengurangkan bebanan ditanggung oleh keluarga adik Ainul Nuraishah," katanya ketika ditemui di rumah adik Ainul Nuraishah di Bandar Mahkota Cheras, Cheras.

Beliau berkata, pada 2021, YBR memperuntukkan hampir RM300,000 sebagai sumbangan membantu mereka yang kurang bernasib baik serta meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

Turut hadir, Ketua Bahagian Operasi YBR, Syaiful Rizal Abd Ghani serta Pengurus Jabatan Perhubungan Komuniti & Penjenamaan Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Orang ramai yang ingin menghulur bantuan kepada Ainul Nuraishah boleh menghubungi Malafarizan Mohamad di talian 011-3700 2698.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 10:51 AM