SITI Norzah ketika menerima kunjungan Yayasan Bank Rakyat.
SITI Norzah ketika menerima kunjungan Yayasan Bank Rakyat.
Noor Hidayah Tanzizi


Skudai: Waris Allahyarham Muhammad Najmi Abd Rahim, 23, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah pada Mac 2020, semalam, menerima pampasan takaful berjumlah RM2,564.

Yayasan Bank Rakyat (YBR) dalam satu kenyataan memaklumkan Allahyarham, pelajar tahun dua Diploma Sains Komputer adalah penerima tajaan pembiyaan pendidikan yayasan berkenaan sejak 2017.

Pampasan itu adalah tuntutan takaful yang diterima bagi perlindungan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) berjumlah RM12,500 bagi sepanjang pengajian di peringkat diploma.

Ia diserahkan kepada ibu arwah, Siti Norzah Mat Daris, 53, yang juga guru di Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru, memandangkan waris yang selayaknya menerima baki pampasan itu adalah bapa Muhammad Najmi yang sudah meninggal dunia, dua bulan sebelum arwah meninggal dunia.

Siti Norzah yang menanggung tiga anak yang masih bersekolah berkata, bantuan itu sedikit sebanyak melegakan bebanan keluarga selepas kehilangan anak tersayang.

"Arwah sering mengadu sakit perut sebelum doktor mengesahkannya menghidapi penyakit Ischaemic Bowel.

"Arwah harapan kami sekeluarga tetapi kami reda Allah lebih menyayanginya," katanya ketika pihak pengurusan YBR membuat kunjungan di kediaman di Taman Impian Emas, Skudai, Johor bagi menyerahkan bantuan itu.

Sementara itu, Pengurus Jabatan Penajaan YBR, Khairul Na'im Arifin berkata, arwah antara 6,408 pelajar yang menerima tajaan PPBUYBR.

"Pampasan itu insurans berkelompok penerima tajaan PPBU YBR yang disediakan bagi setiap pelajar," katanya.

Turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 9:36 AM