IRSYAD Iskandar menerima sumbangan daripada YBR.
IRSYAD Iskandar menerima sumbangan daripada YBR.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Meskipun menghidap penyakit kanser Limfoma Hodgkin tahap empat, kesungguhan dan semangat Irsyad Iskandar Sukiman, 20, terhadap sukan badminton tetap membara.

Irsyad yang juga bekas atlet sukan badminton Sarawak dan sedang menuntut pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, menyimpan impian kembali aktif menyertai sukan berkenaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Ibunya, Mastuyah Abdul Wahab berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu aktif bermain badminton sejak berusia sembilan tahun dan pernah menyertai pelbagai kejohanan.

Mastuyah berkata, sejak menghidap penyakit itu tahun lalu, anaknya terpaksa berhenti bermain badminton walaupun memasang impian menyertai Akademi Badminton Malaysia, namun tidak kesampaian.

"Irsyad sudah menjalani 12 sesi kemoterapi tetapi masih tidak menunjukkan sebarang tanda positif dalam melawan sel kanser.

"Namun, Irsyad tidak patah semangat untuk kembali pada suatu hari nanti jika penyakit dihidapi sembuh demi ingin meneruskan minat dalam sukan badminton," katanya.

Sebelum itu, Mastuyah bersama suami dan Irsyad menerima kunjungan pihak Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000 bagi menampung kos rawatan penyakit dihidapi pemuda itu.

Sumbangan disampaikan Ketua Bahagian Operasi Menanggung Tugas Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Turut hadir Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, Syaiful Rizal berkata, YBR terpanggil membantu Irsyad selepas menerima permohonan bantuan daripada ibunya pada 13 Mei lalu.

Beliau berharap sumbangan yang diberikan itu dapat membantu meringankan beban kos perubatan keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM150,000.

"Melalui pemberian bantuan ini diharapkan dapat mengurangkan bebanan yang kini ditanggung oleh keluarga Irsyad serta dapat menampung perbelanjaan kos rawatan bagi menjalani kemoterapi," katanya.

Katanya, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Irsyad boleh menghubungi Mastuyah di talian 012-6161795.

Untuk rekod tahun ini, YBR memperuntukkan hampir RM500,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 10:51 PM