Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta beberapa ahli parlimen membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, berkaitan dakwaan pembabitannya dalam pemilikan saham yang didakwa milik adiknya.

Ketua AMK Parti Keadilan Rakyat (PKR) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, laporan dibuat bagi memohon polis menjalankan siasatan berhubung pengakuan Azam berhubung perkara terbabit dalam sidang media beliau, kelmarin.

"Dalam sidang media itu, Azam mendakwa bahawa akaun sistem depositori pusat (CDS) saham yang didaftarkan atas namanya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham dan membuat pusingan dalam pasaran terbuka.

"Pengakuan dibuat beliau itu mendatangkan kecurigaan serius kerana berpotensi melanggar peruntukan mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 yang mewajibkan akaun CDS dibuka atas nama pemilik benefisiari kepada sekuriti yang didepositkan atas penama yang disahkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Selain beliau, Ahli Parlimen Pantai Dalam Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah turut membuat laporan polis di IPD Dang Wangi berhubung isu sama.

Akmal Nasrullah berkata, pihaknya memohon supaya polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap Azam kerana sekiranya beliau melanggar peruntukan itu, terdapat kemungkinan berlaku salah laku jenayah lain yang lebih besar.

"Ini termasuk pemalsuan identiti yang boleh melanggar Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan kewujudan wang dalam akaun CDS berkenaan yang dikatakan bukan miliknya juga menimbulkan keraguan dari mana sumber diperoleh walaupun dikatakan milik adiknya serta sama ada ia melanggar Akta Cukai (Pendapatan 1967).

"Selain itu, ketidakjelasan transaksi perlu diteliti sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang lain yang boleh membawa kepada potensi salah laku seperti kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan selain Akta SPRM 2009.

"Pengakuan Azam dalam sidang media itu juga menimbulkan syak terhadap pematuhannya terhadap Pekeliling Perkhidmatan Bil 3 Tahun 2002 pemilikan dan pengisytiharan harta oleh pegawai awam yang memiliki saham dengan syarat ditetapkan iaitu mendapat kebenaran pegawai atasan," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, beliau risau kerana ramai pihak yang membangkitkan isu itu termasuk di Parlimen pada 14 Disember lalu oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, namun ditolak atas alasan teknikal.

"Saya berpandangan bahawa isu ini perlu dibawa ke Parlimen untuk dibangkitkan memandangkan SPRM adalah institusi 'keras' dalam pentadbiran negara. Justeru, kita harap polis dapat menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara berkenaan.

"Sejak isu pegawai SPRM terbabit kes kecurian wang RM25 juta sebelum ini, kita sudah menegur bahawa kes itu tidak boleh disiasat oleh institusi itu sendiri. Dalam kes ini, pihak bebas sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Diraja yang boleh melakukansiasatan terperinci selain membawa isu berkenaan ke parlimen," katanya.

Beliau berkata, Azam sebagai ketua dalam institusi berkenaan sepatutnya direhatkan daripada berkhidmat semasa siasatan dijalankan kerana beliau masih ada kelayakan untuk mengakses semua maklumat daripada SPRM selaku Ketua Pesuruhjaya.

"Tindakan itu (merehatkan Azam) adalah penting supaya imej dan integriti SPRM tidak tercalar. Jika dibuktikan ada kesalahan dilakukan beliau, tindakan lebih tegas perlu diambil termasuk memecat atau meminta Azam Meletak jawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 2:55 PM
KUALA LUMPUR 07 JANUARI 2022. Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir (depan tengah) menunjukkan laporan Polis yang dibuat terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki di Ibu Pejabat Polis Daerah Wang Wangi. STR/OWEE AH CHUN.
KUALA LUMPUR 07 JANUARI 2022. Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir (depan tengah) menunjukkan laporan Polis yang dibuat terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki di Ibu Pejabat Polis Daerah Wang Wangi. STR/OWEE AH CHUN.