Tan Sri Azam Baki. Foto Mohd Fadli Hamzah
Tan Sri Azam Baki. Foto Mohd Fadli Hamzah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis sedang mengumpul maklumat berhubung satu poster tular di media sosial yang mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki ditahan dan agensi itu dirombak.

Poster berkenaan juga mendakwa akan mengadakan satu perhimpunan di ibu negara pada 22 Januari nanti.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya ketika ini sedang mengumpul maklumat bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan berkenaan.

"Saya baru terima maklumat mengenai perkara itu. Siasatan giat dilakukan.

"Saya belum dapat memberi pengesahan pihak yang tularkan poster itu dan sama ada perhimpunan itu akan diadakan atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Isnin lalu, sekumpulan ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) diketuai ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran menghantar memorandum kepada SPRM.

Mereka melakukannya secara berkonvoi dengan kereta bermula dari Dataran Putrajaya ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Sebelum ini, Azam dalam satu sidang media menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular sejak akhir-akhir ini.

Beliau memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga, selain tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 3:39 PM