Hazira Ahmad Zaidi


Pasir Puteh: Dilahirkan dalam keadaan normal, namun apabila berusia tiga bulan, anak sulung daripada lima beradik ini disahkan menghidap Cerebral Palsy (CP).

Berikutan itu, Nik Eliesa Umairah Abdul Rahman, 15, tidak boleh bercakap serta berjalan dan hanya terlantar di tilam selain perlu diuruskan seperti bayi.

Ibunya, Nik Haslinda Nik Samsudin, 37, berkata, memiliki anak istimewa bukan beban sebaliknya anugerah Allah yang menjadi amanah untuk dijaga sebaik mungkin.

Nik Haslinda berkata, ketika anak sulungnya itu dilahirkan dia dan suaminya sangat teruja serta berharap Nik Eliesa Umairah membesar dengan sihat, apatah lagi pada ketika itu tiada tanda dia menghidap penyakit.

"Namun perasaan saya mula berasa tidak enak apabila Nik Eliesa Umairah menangis sepanjang masa dan kerap demam panas serta diserang sawan.

"Bimbang dengan keadaan itu yang berterusan, kami membawa Nik Eliesa Umairah mendapatkan rawatan di hospital dan doktor yang merawat mengesahkan anak kami menghidap penyakit CP.

"Ketika dilahirkan, berat anak saya adalah 3.09 kilogram (kg), namun disebabkan penyakit CP, berat Nik Eliesa Umairah kini hanya 15 kg serta tidak boleh membesar seperti remaja yang seusia dengannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Danan, di sini, hari ini.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) diketuai Ketua Unit Media dan Komunikasinya, Akidi Hamid yang menyampaikan sumbangan wang tunai, kerusi roda khas, susu formula khas serta lampin pakai buang bagi meringankan beban yang ditanggung.

Nik Haslinda berkata, biarpun Nik Eliesa Umairah tidak membesar seperti remaja seusianya dan hanya terlantar, dia dan suami bersyukur kerana diberi kesempatan mencurahkan sepenuh kasih sayang.

CEREBRAL Palsy menyebabkan Nik Eliesa Umairah perlu diuruskan seperti bayi. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
CEREBRAL Palsy menyebabkan Nik Eliesa Umairah perlu diuruskan seperti bayi. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Walaupun mempunyai impian untuk melihat Nik Eliesa Umairah bersekolah, tetapi saya sedar hakikat yang ditakdirkan Allah apabila anak saya hanya mampu berbaring tilam dan tidak berdaya menggerakkan anggota badan, sebaliknya hanya menggunakan isyarat mata atau menangis jika dia hendakkan sesuatu.

"Sebelum ini anak saya kerap diserang sawan, tetapi sejak tiga tahun lalu ia semakin terkawal, namun Nik Eliesa Umairah tetap perlu diberi ubat sawan dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam," katanya anaknya itu juga memerlukan perhatian 24 jam.

Ibu lima anak berusia antara 4 hingga 15 tahun ini berkata, dugaan mereka sekeluarga berganda apabila suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai jurukimpal di Perak tidak dibayar gaji selama enam bulan dan disebabkan itu mereka sekeluarga mengambil keputusan pulang ke kampung halaman di Kelantan.

"Sejak itu, bagi menyara keluarga, suami saya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM900 sebulan yang hanya cukup menampung perbelanjaan kami sekeluarga.

"Bagi keperluan Nik Eliesa Umairah memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan untuk membeli susu formula, lampin pakai buang selain kos ulang-alik ke hospital setiap kali menghadiri temujanji.

"Mujur ada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan untuk menampung kos keperluannya dan ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam bernombor 03-090-02-083189-8 atas nama Nik Haslinda Nik Samsudin atau boleh menghubunginya di talian 017-3679284.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 12:02 PM