Siti Rohana Idris


Tumpat: "Pernah dia balik ke rumah menangis dan bertanyakan apa maksud cacat kerana ada kanak-kanak mengejeknya dengan perkataan itu," kata Nor Azihan Mohamed, ibu kepada anak penghidap Cerebral Palsy.

Nor Azihan, 45, berkata anaknya, Muhammad Harith Zikri Mohd Sapawi, 8, yang disahkan menghidap Cerebral Palsy hanya mampu mengengsot sahaja manakala untuk bermain di luar rumah pula, kanak-kanak itu menggunakan alat yang dinamakan 'rollator'.

Seperti kanak-kanak normal lain seusianya, Harith dilihat aktif bergerak dan dengan menolak rollator yang digenggam kemas, anak bongsu daripada tiga beradik itu mengambil angin sekitar halaman rumah.

Nor Azihan berkata, anaknya itu dilahirkan secara pembedahan pada usia kandungan hampir mencecah tujuh bulan disebabkan berlaku tumpahan darah dan sebaik lahir, beratnya hanyalah 800 gram.

"Ketika itu kami belum tahu bahawa bayi ini mengalami Cerebral Palsy sebaliknya doktor hanya memaklumkan bahawa anak saya ini akan mengalami pertumbuhan fizikal dan IQ yang perlahan.

"Bagaimanapun selepas usianya meningkat lebih setahun, Harith masih belum boleh berjalan sebaliknya hanya mampu berguling sahaja untuk bergerak.

MUHAMMAD Harith Zikri yang disahkan menghidap Cerebral Palsy ditemani ibunya Nor Azihan bermain di luar rumah dengan menggunakan alat yang dinamakan 'rollator' ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Pekan Tengah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMMAD Harith Zikri yang disahkan menghidap Cerebral Palsy ditemani ibunya Nor Azihan bermain di luar rumah dengan menggunakan alat yang dinamakan 'rollator' ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Pekan Tengah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Pertuturan juga lambat dan hanya mampu menyebut 'Ma' sahaja ketika itu menyebabkan kami terus membawanya ke hospital.

"Doktor memberitahu perkembangan itu agak lambat namun akan kembali normal nanti menyebabkan kami berasa lega," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Pekan Tengah di sini, baru-baru ini.

Ibu tunggal yang kematian suami lima tahun lalu itu berkata, bagaimanapun selepas keadaan anaknya itu tidak berubah, pakar perubatan memberitahu bahawa Harith menghidap Cerebral Palsy.

Selepas kematian suami, dia bersama tiga anak termasuk Harith kini menetap di rumah ibunya di sini dan hanya bergantung kepada wang pencen arwah suaminya yang berkhidmat sebagai tentera.

"Semua anak masih bersekolah termasuk Harith yang belajar di kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Padang Pohon Tanjong dan setakat ini Alhamdulillah dia dapat menyesuaikan diri.

"Jiran sekitar sudah maklum akan keadaan Harith namun jika ada orang luar yang datang dan terserempak dengannya yang berjalan menggunakan 'rollator', memang akan menjadi perhatian malah ada kanak-kanak mengejek menyebabkan dia menangis," katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan aktivis masyarakat, Wan Zahari Wan Othman yang menyampaikan sumbangan zakat dan makanan sambil bertanya khabar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 2:12 PM