KAWASAN rumah sekitar Kampung Parit Dahlan di Tangkak masih digenangi air ketika tinjauan hari ini. FOTO Bernama
KAWASAN rumah sekitar Kampung Parit Dahlan di Tangkak masih digenangi air ketika tinjauan hari ini. FOTO Bernama
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Banjir di Johor bertambah baik apabila jumlah mangsa berkurangan dengan 3,985 individu daripada 1,088 keluarga berada di 61 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 4 petang ini.

Ia berbanding 4,449 mangsa daripada 1,195 keluarga di 66 PPS, 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, PPS di daerah Kluang tutup operasi dan 128 mangsa daripada 38 keluarga di sudah pulang ke kediaman masing-masing.

Katanya, Muar masih menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir iaitu 714 mangsa daripada 197 keluarga di sembilan PPS, petang ini, berbanding 495 mangsa daripada 130 keluarga di lima PPS, pagi tadi.

"Walaupun Segamat menurun, namun masih mengekalkan jumlah yang tinggi iaitu seramai 2,460 mangsa daripada 676 keluarga ditempatkan di 36 PPS, petang ini.

"Dua daerah yang bertambah pulih meliputi Mersing dengan hanya 19 mangsa daripada lima keluarga di sebuah PPS dan Tangkak dengan 739 mangsa daripada 193 keluarga di 14 PPS.

"Batu Pahat masih mengekalkan angka sama iaitu seramai 53 mangsa daripada 17 keluarga ditempatkan di sebuah PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menurut data Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, terdapat 10 jalan di daerah yang ditutup untuk semua kenderaan termasuk Jalan Muar-Labis di Muar dan Jalan Durian Condong di Tangkak.

"Jalan lain di Segamat meliputi Jalan Kuala Paya Balai Badang, Jalan Putting, Jalan Tumang, Jalan Serakek, Jalan Pogoh, Jalan Balai Polis Buloh Kasap, Jalan Senai-Gemas dan Jalan Felda Medoi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 5:21 PM