KEDIAMAN penduduk di Kampung Seberang Batu Badak dan di Gemerih, Segamat yang masih digenangi air banjir termenung, semalam. FOTO AHMAD ISMAIL
KEDIAMAN penduduk di Kampung Seberang Batu Badak dan di Gemerih, Segamat yang masih digenangi air banjir termenung, semalam. FOTO AHMAD ISMAIL
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Sungguhpun cuaca pada pagi ini semakin baik, namun jumlah mangsa banjir di Johor masih meningkat iaitu seramai 4,496 orang daripada 1,242 keluarga di 62 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi.

Ia berbanding seramai 4,133 mangsa daripada 1,125 keluarga di 60 PPS, pada jam 12 tengah malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Segamat terus mencatatkan peningkatan dengan 2,479 mangsa daripada 678 keluarga di 36 PPS, pagi ini.

Katanya, ia berbanding hanya seramai 2,434 mangsa daripada 669 keluarga yang ditempatkan di 36 PPS, malam tadi.

"Dua daerah yang menunjukkan peningkatan ketara adalah Muar iaitu 1,058 mangsa daripada 297 keluarga di sembilan PPS, pagi ini, berbanding 905 mangsa daripada 246 keluarga di sembilan PPS, malam tadi.

"Tangkak juga meningkat kepada 905 mangsa daripada 249 keluarga di 16 PPS, pagi ini, berbanding hanya 740 mangsa daripada 192 keluarga di 14 PPS, malam tadi.

"Batu Pahat mengekalkan jumlah mangsa banjir yang sama iaitu seramai 54 mangsa daripada 18 keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor melaporkan terdapat 11 jalan di daerah yang terjejas ditutup untuk semua kenderaan.

"Antaranya ialah Jalan Muar-Labis di Muar dan Jalan Durian Condong di Tangkak. Turut ditutup adalah Jalan Felda Bukit Aping, Kota Tinggi.

"Jalan lain di Segamat meliputi Jalan Kuala Paya Balai Badang, Jalan Putting, Jalan Tumang, Jalan Serakek, Jalan Pogoh, Jalan Balai Polis Buloh Kasap, Jalan Senai-Gemas dan Jalan Felda Medoi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 9:55 AM