DAVANDAKUMAR bersama kekasihnya didakwa membunuh kanak-kanak berusia tiga tahun. FOTO Bernama
DAVANDAKUMAR bersama kekasihnya didakwa membunuh kanak-kanak berusia tiga tahun. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Klang: Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun pada Disember lalu.

Tertuduh, M Sutha, 26, iaitu ibu kandung kepada kanak-kanak itu dan S Davandakumar, 28, hanya mendiamkan diri dan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P Sarulatha.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan bersama, pasangan kekasih itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas K Nithish, 3.

Mereka didakwa melakukan perkara itu di sebuah rumah di Jalan Hulubalang 28, Taman Sentosa dekat sini antara jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang pada 24 Disember lalu.

Justeru, kedua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 KK dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur'Ain Madihah Zilkifli tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan sebutan semula kes pada 23 Mac depan untuk serahan laporan forensik, kimia dan patalogi.

Pada 28 Disember lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dipercayai akibat didera menggunakan kayu, tali pinggang serta penyangkut baju.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian terbongkar susulan pihaknya menerima laporan dibuat seorang pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada 6.20 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 3:19 PM