Nur Lela Zulkipli


LELAKI berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga anak asuhannya antara 28 dan 29 September lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Sazry Mohd Taha, 36, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Zahira Sofea Ahmad Mu’izz.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lorong Yunus, Kampung Sungai Udang, Klang antara 1 tengah hari 28 September hingga 1 tengah hari 29 September lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Abd Raoff sementara tertuduh diwakili peguam, G Khiranya dan M Kuhanraj.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 9 Disember ini sebagai sebutan semula kes.

Muka hadapan Harian Metro 2 Oktober lalu melaporkan suami isteri dipercayai mendera anak asuhan berusia 4 tahun sehingga maut di kediaman mereka.

Mangsa yang mempunyai adik kembar turut didera dan dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

Mangsa bersama adik kembarnya diletakkan di bawah jagaan suspek bersama isterinya oleh ibu mangsa yang bekerja di Cyberjaya selama sebulan dan hanya sekali melawat kanak-kanak itu dalam tempoh berkenaan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Pengasuh dera kenal di FB [METROTV]

Kanak-kanak maut didera pengasuh

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 2:36 PM
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan membunuh kanak-kanak perempuan berusia empat tahun. FPTP Saddam Yusoff
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan membunuh kanak-kanak perempuan berusia empat tahun. FPTP Saddam Yusoff