Mayat terakhir mangsa bot karam di kawasan perairan Batu Payung, Sabtu lalu ditemui jam 8.35 pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
Mayat terakhir mangsa bot karam di kawasan perairan Batu Payung, Sabtu lalu ditemui jam 8.35 pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
BERNAMA

Tawau: Mayat mangsa terakhir tragedi perahu karam di perairan Batu Payung membabitkan tiga beradik pada Sabtu lalu, Rahena Muhaimin, 20, ditemukan pada 8.37 pagi tadi di selatan perairan Membalua, di sini.

Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau, Komander Amiludin Yenggah berkata, mayat mangsa ditemukan pihaknya dalam keadaan tertiarap dan terapung.

"Identiti Rahena kemudian disahkan sendiri ibu bapa mangsa. Semalam penduduk kampung menemukan mayat dua adik Rahena iaitu Saiful, 15, di laut serta Jaidi, 5, yang terdampar di pesisir pantai Batu Payung," katanya kepada pemberita, hari ini.

Korban perahu karam di perairan Batu Payung pada Sabtu lalu membabitkan tiga beradik, manakala enam lagi termasuk tiga lagi adik-beradik mangsa yang menaiki perahu sama, terselamat.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, perahu yang dinaiki sembilan individu termasuk enam beradik berkenaan untuk berekreasi di pantai berkenaan terbalik selepas dipukul ombak besar.

Dengan penemuan mayat ketiga itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Agensi Pertahanan Awam selain penduduk kampung ditamatkan pada 10 pagi ini.

"Operasi pencarian ini turut mendapat bantuan Badan SAR Nasional (Basarnas) serta tentera laut dari Indonesia yang membantu meninjau jika ada mangsa perahu karam ini berada di sempadan perairan negara itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata, saringan awal Covid-19 yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap dua mangsa lemas iaitu Saiful dan Jaidi semalam didapati positif.

"Namun, KKM akan menjalankan saringan kedua, begitu juga ujian saringan akan dijalankan terhadap mayat mangsa terakhir.

"Sehubungan itu, saya menasihatkan keluarga mangsa atau individu rapat melakukan kuarantin kendiri, dan sekiranya terdapat simptom Covid-19 hendaklah segera merujuk ke klinik kesihatan berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 3:50 PM