SAR mencari tiga beradik yang hilang selepas bot karam di perairan dekat Kampung Batu Payung. FOTO Ihsan Bomba.
SAR mencari tiga beradik yang hilang selepas bot karam di perairan dekat Kampung Batu Payung. FOTO Ihsan Bomba.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Enam individu selamat, manakala tiga beradik dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di perairan dekat Kampung Batu Payung, di sini hari ini.

Difahamkan ketika kejadian 4.30 petang itu, bot berkenaan yang memuatkan sembilan orang dipercayai dari Kampung Rawa-Rawa sebelum karam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.45 petang.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, enam daripada sembilan mangsa berjaya diselamatkan penduduk kampung, manakala tiga beradik iaitu Saiful Muhaimin, 14; Adam, 13; dan Saina, 12, masih belum ditemui.

"Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan yang turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selain penduduk kampung," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Julius berkata, 17 bot digunakan untuk pencarian itu sebelum operasi ditangguhkan pada 6.40 petang.

"SAR akan disambung semula esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 11:14 PM