Jenazah Saiful dan adiknya Jaidi ditemukan dan akan dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat hari ini. FOTO BERNAMA
Jenazah Saiful dan adiknya Jaidi ditemukan dan akan dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Tawau: Kegembiraan sembilan individu termasuk enam beradik berekreasi di pantai Batu Payung semalam berakhir dengan tragedi, apabila perahu dinaiki mereka karam dipukul ombak mengakibatkan dua lemas, dan seorang masih hilang.

Dua beradik yang lemas dikenali Saiful Muhaimin, 15, ditemukan di laut dan adiknya Jaidi, 5, terdampar di pesisir pantai, hari ini, manakala kakak mereka Rahena, 20, masih belum ditemukan.

Seorang daripada ahli keluarga yang terselamat, Zetty, 17, berkata kejadian itu berlaku pantas selepas bahagian hadapan perahu dimasuki air dan kemudian dipukul ombak, sebelum ia terbalik.

"Kami semua jatuh dalam laut, saya dan lima adik-beradik lain tidak pandai berenang... terkapai-kapai di laut, saya sedaya upaya tendang kaki di air sambil pegang adik Jefry, 6, dan dapat berpaut pada tong ikan.

"Adik saya Adam, 12, sempat berpaut di tong minyak, kemudian lalu satu bot pancing dan saya minta tolong, mereka selamatkan kami tiga beradik, suami, sepupu dan jiran; tapi kakak saya dan dua lagi adik pada waktu itu tidak ditemui," katanya dalam nada sebak kepada pemberita, di sini, hari ini.

Menurut Zetty, kakak dan empat adiknya pertama kali ke pantai Batu Payung melalui jalan laut dengan menaiki perahu di Batu 4 dan tidak menyangka selepas beriadah di pantai dan sewaktu mahu pulang berlaku tragedi berkenaan.

Sementara itu, ibu mangsa Mary Nasir, 48, berkata enam anaknya keluar dari rumah di Kampung Rawa-Rawa kira-kira 11 pagi dan seterusnya ke Batu 4 menaiki perahu ke pantai Batu Payung untuk bermandi-manda.

"Kemudian sekitar 3 petang anak saya (Zetty) telefon bagi tahu perahu mereka karam, tiga anak tidak dapat ditemui selepas bot karam semalam, dan baru pagi ini (mayat) dua (anak) ditemui," katanya yang tidak dapat menahan tangis.

Abang mangsa Junior, 25, pula berkata dia sempat melarang adiknya pulang menaiki perahu, kerana melihat keadaan cuaca yang tidak baik.

"Ketika kejadian saya tidak ikut mereka, kerana saya mengurus baju untuk majlis kahwin saya pada 9 Januari ini, tapi 2 petang adik saya telefon mahu pulang, namun saya larang, selepas itu saya ada telefon mereka, tapi tidak berjawab, saya jadi risau, tidak sangka perahu mereka karam," katanya anak sulung daripada 10 beradik.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau, Komander Amiludin Yenggah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada polis berhubung kejadian di perairan Batu Payung itu pada 3.40 petang.

"Proses pencarian mangsa ketiga sedang giat dijalankan bersama penduduk kampung, termasuk pasukan polis marin, bomba dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya dan menambah kejadian itu dipercayai juga berpunca daripada bebanan berlebihan di hadapan perahu.

Amiludin turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika turun ke laut berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan sentiasa mengutamakan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 2:25 PM