LIMA kru bot nelayan diselamatkan. FOTO ihsan APMM
LIMA kru bot nelayan diselamatkan. FOTO ihsan APMM
Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Lima kru sebuah bot nelayan tempatan terselamat selepas karam di kedudukan 5.3 batu nautika timur Tanjung Lompat di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, lima kru termasuk tekong bertindak terjun ke laut dan diberi bantuan awal oleh kapal tangki serta bot nelayan tempatan yang berada sekitar kawasan itu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada kapal MT Atlantica Breeze yang menghubungi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru.

Menurutnya, kapal itu memaklumkan terdapat sebuah bot nelayan yang hanyut sehingga melanggar kapal mereka.

"Bot Perkasa 29 dan Perkasa 30 diatur gerak ke lokasi dan hasil pemeriksaan mendapati kejadian berpunca daripada kerosakan enjin bot nelayan berkenaan.

"Keadaan cuaca yang buruk pada ketika itu menyebabkan bot hanyut dan melanggar kapal MT Atlantica Breeze yang sedang bersauh di kawasan terbabit.

"Akibat pelanggaran itu, bot mengalami kebocoran dan mulai karam," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, lima kru berkenaan ialah warga Indonesia berusia 30 hingga 43 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit yang sah.

Katanya, dua daripada mangsa dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili dan seterusnya ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk rawatan kerana mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Nurul Hizam berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam memberikan bantuan pantas kepada mangsa.

"APMM juga ingin menasihatkan kepada orang ramai terutamanya komuniti maritim supaya cakna dengan perubahan cuaca dan mengutamakan keselamatan.

"Tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Sebarang kecemasan segera hubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 1:00 PM