Dua nelayan terselamat selepas bot dinaiki karam akibat dipukul ombak di kedudukan 4.3 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil, malam tadi. FOTO IHSAN APMM
Dua nelayan terselamat selepas bot dinaiki karam akibat dipukul ombak di kedudukan 4.3 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil, malam tadi. FOTO IHSAN APMM
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Dua nelayan ditemukan selamat selepas terapung selama sembilan jam di tengah laut apabila bot mereka karam akibat dipukul ombak di kedudukan 4.3 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil di sini, malam tadi.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata pihaknya menerima laporan jam 10.45 malam, sebelum menggerakkan Bot KILAT 16 bagi operasi menyelamat.

Katanya, bagaimanapun, keadaan cuaca buruk menyebabkan bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hampir terbalik akibat dipukul ombak dan menghalang operasi berkenaan.

"Zon Maritim Tanjung Sedili turut mendapat bantuan komuniti nelayan Tanjung Sedili bagi menyelamat mangsa, namun turut gagal akibat cuaca laut yang teruk dan jarak penglihatan terhad.

"Kira-kira jam 8.30 pagi, kedua-dua mangsa dilaporkan sudah ditemui oleh bot pancing yang menyertai misi pencarian mangsa.

"Mangsa yang berusia 50 dan 38 tahun itu ditemui lengkap berpakaian jaket keselamatan dan berpaut pada pelampung di kedudukan 4 batu nautika timur laut dari posisi bot karam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, laporan awal kejadian mendapati, keadaan cuaca buruk dan angin kencang menyebabkan bot terbabit dipukul ombak dan dimasuki air dengan pantas.

Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili bagi pemerikasaan lanjut, selain komuniti maritim dinasihatkan supaya memakai jaket keselamatan kerana ia mampu menyelamatkan nyawa ketika dalam kecemasan di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 2:07 PM