GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Port Dickson: Pekerja kilang maut selepas kenderaan dinaiki terbabas ke dalam parit berikutan jalan licin di Kilometer 22.2 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, Muhammad Zulfikri Mohd Zailani, 22, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala rakannya, Muhammad Fawwaz'aqil Zailani, 25, yang juga peniaga mengalami kecederaan parah di bahagian tulang belakang dalam kemalangan jam 11.45 pagi itu.

"Siasatan awal mendapati Muhammad Fawwaz'aqil sedang memandu kereta Honda Accord dari arah Teluk Kemang menghala ke Seremban.

"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam parit susulan keadaan jalan yang licin disebabkan hujan renyai ketika itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Akibat kemalangan itu, beliau berkata Muhammad Zulfikri yang juga penumpang di bahagian depan maut di lokasi kejadian manakala Muhammad Fawwaz'aqil yang cedera parah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan susulan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 4:08 PM