ORANG ramai membantu mangsa terbabit  kemalangan maut di Kilometer 16.9 Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH), Port Dickson.
ORANG ramai membantu mangsa terbabit kemalangan maut di Kilometer 16.9 Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH), Port Dickson.
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Hasrat seorang pengawal keselamatan menziarahi neneknya di Hospital Port Dickson (HPD) tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan selepas kereta dinaiki bersama saudara terbabas di Kilometer 16.9, Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH), kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.55 petang, mangsa Mohamad Noor Zulhairie Amir, 25, yang berada di tempat duduk penumpang belakang cedera parah di kepala dan meninggal di tempat kejadian manakala adiknya Mohamad Noor Sharil, 24, serta sepupu Nor Hanif Hakimi Nor Hassan, 18, parah.

Ketua Polis Daerah Superintendan Adzli Abu Shah berkata, kemalangan berlaku apabila Proton Satria dinaiki tiga bersaudara dari Seremban ke Port Dickson dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

Beliau berkata, kereta terbabit kemudian berpusing beberapa kali sebelum tersadai di tepi jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kereta dan alami kecederaan dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua lagi mangsa cedera parah di kepala dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk menerima rawatan. Mayat dibawa ke HPD untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat sudah dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di kampung halaman Batu Pahat, Johor, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 10:09 AM