KEADAAN kenderaan dipandu mangsa yang terbakar dalam kemalangan di Kilometer 17.4 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, hari ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KEADAAN kenderaan dipandu mangsa yang terbakar dalam kemalangan di Kilometer 17.4 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, hari ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


LELAKI rentung selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas lalu terbakar di Kilometer 17.4 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Port Dickson, hari ini.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi berhampiran susur keluar ke Bandar Springhill, Naza Citra terbabit dipercayai merempuh penghadang jalan dan terbakar menyebabkan mangsa terperangkap.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, siasatan awal polis menemui secebis kertas atas nama 'Lim Sai Chong' beralamat di Tanah Merah Site C di lokasi kejadian.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan ke atas waris, mangsa yang rentung keseluruhan dimaklumkan sebagai Lim Tong Hai, namun belum dapat disahkan.

“Bedah siasat dilakukan di Hospital Port Dickson dan sampel tisu mangsa akan diambil bagi tujuan pemadanan DNA bersama sampel darah daripada ahli keluarganya bagi tujuan pengesahan," katanya.

Menurutnya, polis juga mengalu-alukan saksi kejadian bagi membantu siasatan polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Raja Nur Hafizah Raja Arifin di talian 06-6472222 .

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 10:00 AM