DUA periuk yang berisi air rebusan daun ketum serta beberapa plastik mengandungi air ketum ditemui dalam sebuah rumah, malam kelmarin. FOTO ihsan POLIS
DUA periuk yang berisi air rebusan daun ketum serta beberapa plastik mengandungi air ketum ditemui dalam sebuah rumah, malam kelmarin. FOTO ihsan POLIS
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sebuah rumah yang dipercayai dijadikan lokasi memproses air ketum di Kampung Padang Bongor di sini diserbu polis malam kelmarin.

Dalam serbuan itu, polis merampas dua periuk besar mengandungi daun ketum yang sedang direbus, beberapa plastik air ketum yang siap diikat dan sejumlah daun ketum di dalam plastik hitam yang disyaki untuk direbus.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, serbuan dijalankan anggota dari Balai Polis Kota Bharu pada 7.45 malam.

"Ketika serbuan, terdapat empat lelaki berusia dalam lingkungan 21 hingga 28 tahun di dalam rumah terbabit dan dipercayai sedang menjalankan urus niaga.

"Pemeriksaan dalam rumah itu mendapati banyak peralatan yang digunakan untuk memproses air ketum antaranya periuk, dapur gas, plastik untuk mengisi air ketum, getah pengikat serta alat penimbang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, air dan daun ketum itu dianggarkan bernilai RM1,000 dan semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil ujian saringan yang dibuat, seorang lelaki berusia 28 tahun positif dadah jenis methampethamine manakala menerusi semakan pula, semua suspek memiliki rekod lampau berkait dadah serta jenayah.

"Semua mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga 1 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 4:00 PM