Lelaki tempatan ditahan bersama air dan daun ketum di sebuah rumah sewa di Kampung Acheh, Sitiawan. FOTO IHSAN PPM
Lelaki tempatan ditahan bersama air dan daun ketum di sebuah rumah sewa di Kampung Acheh, Sitiawan. FOTO IHSAN PPM
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Kegiatan lelaki menggunakan rumah sewa untuk memproses dan menjual air ketum terbongkar apabila premis di Kampung Acheh, di sini, diserbu, semalam.

Dalam serbuan pada 6 petang, suspek berusia 30-an ditahan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Perak bersama sejumlah air dan daun ketum dianggarkan bernilai RM5,190.

Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pemeriksaan di rumah itu menemui 30 bungkusan plastik lut sinar disyaki mengandungi air ketum dan daun ketum seberat 36 kilogram.

Menurutnya, siasatan juga mendapati rumah sewa berkenaan dijadikan tempat memproses dan menyimpan air ketum.

"Pemeriksaan turut menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses air ketum seperti mesin pengisar, periuk besar, dapur dan tong gas.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memperolehi bekalan daun ketum dari Hilir Perak dan menjual air ketum yang siap diproses pada harga RM10 sebungkus (1 liter).

"Manakala daun ketum pula dijual pada harga RM30 untuk sekilogram bagi pasaran sekitar Sitiawan yang dipercayai aktif sejak tahun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 1:58 PM