ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Baru Jalan Malaysia. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Baru Jalan Malaysia. FOTO ihsan bomba
Hidayatidayu Razali


Jeli: Dua warga emas dan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang terperangkap dalam rumah selepas kediaman mereka di Kampung Baru Jalan Malaysia, di sini, dinaiki air diselamatkan anggota bomba pagi tadi.

Tiga mangsa itu dipindahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jeli pada 9 pagi tadi selepas kediaman mereka dinaiki air separas 0.5 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8 pagi dan seramai empat anggota yang menaiki pacuan empat roda Toyota Hilux ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati air sudah memasuki rumah dan pihaknya segera memindahkan mangsa.

"Pihak kita menggunakan tali untuk mengeluarkan semua mangsa sebelum membawa mereka ke lokasi selamat.

"Paras air naik berikutan hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kampung dilanda banjir. Antara kawasan yang dinaiki air ialah Sungai Satan, Bukit Lakota, Lubok Bongor, Pasir Dusun dan Gemang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bersama pasukan keselamatan yang lain dalam usaha memindahkan mangsa lain ke lokasi selamat termasuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang sudah mula dibuka.

Mohd Adni mengingatkan penduduk yang berada di lokasi rendah supaya membuat persediaan berpindah berikutan daerah itu masih hujan.

"Saya berharap penduduk membuat persediaan awal bagi mengelakkan mereka panik jika paras air terus meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 11:32 AM