MANDI air sejuk memberi kebaikan terhadap kesihatan.
MANDI air sejuk memberi kebaikan terhadap kesihatan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


ADA memilih mandi air panas pada waktu pagi bagi mengurangkan kesejukan dan memberikan sedikit keselesaan.

Disebabkan itu, pemasangan alat pemanas air sudah menjadi kemestian di setiap rumah.

Namun, mandi air sejuk boleh dijadikan pilihan kerana ia mempunyai manfaat kesihatan yang perlu diketahui.

1. Meredakan kegatalan kulit

Pakar Dermatalogi dari The George Washington University School, Adam Friedman mengatakan, jika individu mempunyai masalah kegatalan kulit, mandi air sejuk dapat membantu mengatasi rasa mahu menggaru di bahagian kulit yang gatal.

2. Membantu 'bangun' pada waktu pagi

Percikan air sejuk pada badan, membuatkan anda sedikit terkejut dan serta-merta hilang rasa mengantuk.

Selain itu, ia akan meningkatkan pengambilan oksigen dan kadar degupan jantung.

3. Meningkatkan peredaran darah

Ini antara saranan utama pakar menggalakkan mandi air sejuk. Apabila air sejuk terkena badan dan anggota luar tubuh, darah di dalam tisu badan mengalir lebih cepat bagi mengekalkan suhu badan yang ideal. Selain itu, air sejuk juga dapat mengurangkan keradangan dan membantu mencegah penyakit kardiovaskular.

4. Mengurangkan kesakitan otot selepas bersenam

Ini kerana air sejuk mempunyai sifat regenaratif (berpotensi menyembuhkan kesakitan dengan cara pemulihan) apabila otot akan berehat dan dipulihkan selepas bersenam.

5. Membantu menurunkan berat badan

Beberapa sel lemak seperti lemak coklat dapat menghasilkan haba dengan membakar lemak.

Proses ini berlaku apabila badan terdedah kepada keadaan sejuk seperti ketika mandi dan dikatakan kebanyakan lemak ini terdapat di sekitar leher serta bahu.

6. Kulit dan rambut lebih sihat

Menerusi kajian saintifik mengenai kesan air sejuk kepada kulit dan rambut, ia menunjukkan kesan positif.

Pakar Kesihatan Antarabangsa, Dr Jacqueline Schaffer mengatakan, air sejuk boleh menguat dan menyekat aliran darah yang menjadikan kulit kelihatan lebih bersinar.

Bahkan, air sejuk tidak mengeringkan lapisan sebum dan 'pelincir' semula jadi yang memberikan perlindungan untuk kulit serta rambut.

Namun ada juga beberapa keburukan mandi air sejuk:

1. Tidak membantu menghangatkan badan

Mandi air sejuk bukan idea yang bagus jika individu itu dalam keadaan kesejukan kerana suhu yang lebih sejuk tidak akan membantu menghangatkan badan.

Sebaliknya boleh menjadikan individu lebih kesejukan dan mengambil banyak masa untuk memanaskan badan.

2. Tidak sesuai bagi individu tidak sihat

Mandi air yang sejuk akan membuat individu tidak sihat berasa kurang selesa dan menggigil kesejukan.

Pilihan yang sesuai adalah mandi air panas kerana tubuh lebih nyaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 6:22 AM