Roselan Ab Malek

Jerantut: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir kejadian kepala air di Kampung Seri Telemong di Bentong pada 18 Disember lalu diteruskan dalam skala lebih kecil.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, SAR bagi Ahmad Yahya, 71, yang memasuki hari ke-10 semalam tidak menemui sebarang petunjuk baharu.

"Selepas berbincang dengan polis, kami memutuskan untuk berundur sehingga mendapat petunjuk baharu tetapi anggota bomba dan penduduk kampung akan meneruskan pencarian dalam skala yang lebih kecil.

"Beberapa pasukan sebelum ini terbabit dalam operasi SAR yang dijalankan di darat dan air," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, operasi SAR dijalankan lebih 15 kilometer dari jambatan Telemong, lokasi terakhir mangsa dihanyutkan kepala air pada 18 Disember lalu.

Ahmad adalah antara 16 orang yang dihanyutkan air sungai yang keruh ketika berada di atas jambatan di Sungai Telemong pada kira-kira jam 2 pagi hari kejadian.

RUMAH yang musnah akibat banjir lumpur ketika tinjauan pada operasi mencari dan menyelamat di Sungai Telemong. FOTO BERNAMA
RUMAH yang musnah akibat banjir lumpur ketika tinjauan pada operasi mencari dan menyelamat di Sungai Telemong. FOTO BERNAMA

Pada 19 Disember, 10 orang ditemukan selamat, manakala lima lagi dilaporkan hilang.

Sementara itu, seorang lelaki dewasa dilaporkan masih hilang di Kem Eko Bobby di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak selepas dihanyutkan kepala air pada 18 Disember bersama dua yang lain.

Pada 21 Disember lalu, pasukan penyelamat menemukan mayat Yap Koon Lan, 66, dan Emmanuel Chang Li Zheng, 6, yang datang ke resort itu bersama keluarganya.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat juga masih berusaha mengesan Mohd Firdaus Supiardi, 26, yang dilaporkan hilang selepas terjun dari jambatan dan dihanyutkan arus deras di Sungai Belat berhampiran Kampung Sri Damai di Kuantan pada 18 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 3:25 PM