Bapa Nur Hafizah, Zailan tidak pernah putus asa mengesan anaknya. FOTO NSTP
Bapa Nur Hafizah, Zailan tidak pernah putus asa mengesan anaknya. FOTO NSTP
Khairulmizan Yahya


Kuantan: Selepas 18 hari berlalu, masih belum ada tanda-tanda Nur Hafizah Zailan yang hilang dihanyutkan arus ketika menyeberangi jambatan gantung dekat Kampung Aur, Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin, akan ditemui.

Sejak 3 Mac lalu, pelbagai usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan penyelamat termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan K9, namun tiada petunjuk keberadaan gadis berusia 23 tahun itu.

Susulan itu, SAR berkenaan yang berlangsung ketika bah dihentikan pada 16 Mac dan pemantauan diteruskan pasukan polis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, usaha mencari mangsa berdepan kesukaran berikutan faktor sungai yang besar serta arus deras.

"Walaupun selepas air sungai semakin surut dan sudah kelihatan pokok-pokok di kawasan tebing, namun harapan mangsa ditemui tersangkut pada dahan dan ranting pokok tidak berlaku.

"Ini disebabkan kerana faktor keluasan sungai yang mengurangkan potensi mangsa tersangkut, manakala arus yang laju memungkinkan dia hanyut dibawa hingga ke lokasi yang jauh," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Bagaimanapun Ismail berkata, operasi SAR oleh pihaknya akan dilaksanakan semula sekiranya ada menemui petunjuk baharu.

Dalam kejadian itu, Nur Hafizah yang tinggal di Lorong Gangsa 2, Bukit Ibam, Muadzam Shah dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi jambatan gantung terbabit kira-kira 10.30 pagi.

Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan bot untuk ke lokasi kejadian berikutan laluan masuk ke lokasi ditenggelami banjir.

SAR dilaksana membabitkan pasukan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 5:26 PM