Mohd Fadhil Minhat
Mohd Fadhil Minhat
Essa Abu Yamin


Tangkak: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak mendapatkan bantuan daripada beberapa IPD berhampiran bagi usaha mengesan lelaki warga Myanmar, Abd Hamim Ab Hamid, 33 atau dikenali sebagai Long Tiger meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, bantuan berkenaan membabitkan anggota daripada IPD Muar, Segamat dan Jasin, Melaka.

"Polis sedang melaksanakan Ops Tutup di semua laluan keluar dan masuk di daerah Tangkak dan operasi memburu giat dijalankan sejak semalam.

"Khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) juga digunakan dan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Tangkak bagi mengesan lelaki berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Fahdil berkata, setakat ini pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk berhubung lokasi sebenar dia bersembunyi dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi IPD Tangkak di talian 06-9781222 dan 06-9785222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Long Tiger menjadi buruan selepas melarikan diri ketika ditempatkan dalam lokap Mahkamah Majistret Tangkak melalui pintu utama mahkamah pada jam 11.55 pagi dengan keadaan tangan bergari.

Lelaki itu memakai baju T cerah, berseluar panjang coklat serta memakai selipar.

Siasatan awal mendapati dia melarikan diri melalui pintu utama mahkamah serta menghilangkan diri sekitar semak samun berhampiran.

Long Tiger dibawa ke mahkamah berkenaan bagi pengakuan bersalah di bawah Seksyen 388, iaitu kes ugutan terhadap seseorang dibawa dari penjara di Sungai Udang, Melaka di sini, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:20 PM