WARIS berkumpul di sebelah mayat rakyat Palestin yang terkorban dalam serangan Israel, di hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza pada 23 Februari 2024. FOTO REUTERS/Doaa Ruqqa
WARIS berkumpul di sebelah mayat rakyat Palestin yang terkorban dalam serangan Israel, di hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza pada 23 Februari 2024. FOTO REUTERS/Doaa Ruqqa
Bernama-Anadolu

Ankara: Jumlah wanita dan kanak-kanak yang maut di Gaza sejak 7 Oktober 2023 melebihi enam kali ganda berbanding mangsa yang terkorban dalam perang Rusia-Ukraine.

Agensi Anadolu merekodkan angka korban membabitkan orang awam dalam Perang Rusia-Ukraine sejak 24 Februari 2022 serta jumlah wanita dan kanak-kanak yang terkorban dalam perang Israel di Gaza.

Israel tanpa henti mengebom Palestin yang didiami hampir 2.3 juta penduduk.

Serangan itu mengorbankan 29,410 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 12,660 kanak-kanak dan 8,570 wanita.

Selain itu, 69,465 yang lain cedera dengan lebih 70 peratus adalah wanita dan kanak-kanak.

Menurut sumber Palestin, Israel telah menggunakan lebih 66,000 tan bahan letupan dalam serangan itu, dengan purata 183 tan bahan letupan bagi setiap kilometer persegi di Gaza.

Gaza musnah secara keseluruhan manakala 1.9 juta penduduknya hilang tempat tinggal.

Memetik Misi Pemantau Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (HRMMU) di Ukraine, seramai 10,378 orang awam termasuk 579 kanak-kanak dan 2,992 wanita terbunuh manakala 19,632 yang lain cedera sejak krisis Rusia-Ukraine tercetus awal 2022.

Sejumlah 8,095 kematian berlaku di wilayah Ukraine manakala 2,283 korban direkodkan di wilayah yang dikuasai Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 6:18 PM