KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang terputus dua akibat terbabas dan merempuh sebatang pokok besar di tepi jalan di Kilometer 13, Jalan Bintulu-Tanjung Kidurong, Bintulu. FOTO Erika George
KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang terputus dua akibat terbabas dan merempuh sebatang pokok besar di tepi jalan di Kilometer 13, Jalan Bintulu-Tanjung Kidurong, Bintulu. FOTO Erika George
Erika George


DUA beradik tidak sempat menyambut Krismas Selasa ini akibat maut selepas Proton Persona yang dinaiki terbabas sebelum merempuh pokok di Kilometer 13, Jalan Bintulu-Tanjung Kidurong, di Bintulu, hari ini.

Kejadian 10.35 pagi itu menyebabkan Meliana Tubun, 26, dan adiknya Tropimos Tamason Tubun, 15, disahkan maut serta merta di lokasi kemalangan akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili ketika dihubungi NSTP berkata, impak rempuhan kuat menyebabkan kereta dinaiki mangsa hampir terputus dua.

Menurutnya, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang turut berada di tempat duduk penumpang belakang bagaimanapun hanya cedera.

“Siasatan awal mendapati, kereta dipandu Meliana dalam perjalanan dari Bandar Bintulu menuju Tanjung Kidurong sebelum hilang kawalan lalu terbabas di kanan jalan.

“Kereta berkenaan kemudiannya merempuh pokok menyebabkan kenderaan itu hampir terputus dua manakala mangsa yang maut tersepit,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Suhaili berkata, polis tidak menolak kemungkinan wanita terbabit gagal mengawal kenderaannya kerana permukaan jalan yang basah kerana hujan ketika kejadian.

Katanya, pasukan bomba dipanggil ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas bagi memotong bahagian kereta yang remuk.

“Bomba mengambil masa satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Bintulu bagi bedah siasat manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 4:29 PM