GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seramai 485 kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak kini diletakkan bersiap siaga bagi menghadapi luruan monsun yang diramal melanda negeri ini, minggu ini.

Pengarahnya, Noriah Ahmad berkata, semua kakitangan terbabit sedia digerakkan ke lokasi bagi membantu mangsa apabila keadaan memerlukan.

"Ya... semua kakitangan JKM Sarawak kini bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ketika cuaca buruk diramal melanda Sarawak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noriah berkata, pihaknya turut mendapat bantuan 1,334 sukarelawan yang berdaftar dengan JKM Sarawak bagi memastikan kelancaran tugas membantu mangsa banjir.

Katanya, mereka turut bertanggungjawab untuk merekod jumlah mangsa, mengagihkan bantuan awal dari pangkalan hadapan serta mengendalikan pusat pemindahan sementara (PPS).

"Selain itu, JKM Sarawak menyediakan seramai 14 kaunselor yang akan memberi khidmat nasihat kepada mangsa banjir," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan semalam, meramalkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa negeri pantai timur Semenanjung, Johor serta Sabah dan Sarawak, mulai hari ini.

Keadaan itu diramal berlaku berikutan luruan monsun pada 27 Disember hingga 1 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 3:41 PM