FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


Sibu: Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan paras air di kawasan rendah di pinggir bandar ini mula dinaiki air, hari ini.

Setakat tengah hari tadi, tiga rumah di Kampung Seduan, di sini, dinaiki air hingga paras 0.5 meter.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.44 pagi berhubung kejadian

Menurutnya, sepasukan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikejarkan ke lokasi untuk bantuan.

"Setibanya di kampung berkenaan, didapati tiga rumah sudah dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter manakala jalan raya pula ditenggelami hampir satu meter.

"Penduduk mendakwa air memasuki rumah mereka dengan cepat selepas hujan sejak pagi semalam," katanya.

Bagaimanapun, katanya, 14 penghuni dua rumah yang dinaiki air enggan berpindah kerana yakin keadaan banjir akan pulih dengan segera.

"Hanya 10 penghuni sebuah lagi kediaman iaitu tujuh dewasa, dua kanak-kanak dan seorang bayi perempuan bersedia untuk dipindahkan.

"Pihak kami masih menunggu keputusan Pejabat Residen Bahagian Sibu untuk pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Jeriah," katanya.

Sibu antara sembilan bahagian di Sarawak yang kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan hujan berterusan sejak semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman sesawangmya hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk atau kategori jingga bagi sembilan kawasan itu hingga esok.

Kawasan lain yang berisiko banjir ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah (Tanjung Manis dan Daro), dan Kapit (Kapit dan Song).

Mengikut sistem amaran MetMalaysia, cuaca tahap buruk atau kategori jingga merujuk hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh enam jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 3:48 PM