Mohd Roji Kawi


Kuching: Sebanyak 349 lokasi di seluruh Sarawak dikenal pasti berisiko dilanda banjir apabila Monsun Timur Laut dijangka melanda negeri ini, Disember ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, kawasan berisiko itu dikenal pasti berdasarkan kejadian banjir yang kerap berlaku sebelum ini.

Justeru katanya, persiapan rapi kini sedang dibuat JBPM Sarawak bagi menghadapi sebarang kemungkinan apabila Monsun Timur Laut melanda.

"Walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan taburan hujan normal sepanjang Monsun Timur Laut itu, namun ada beberapa kawasan di bahagian Barat Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan hingga Sri Aman dijangka menerima hujan agak lebat.

"Jadi, semua pihak yang terbabit dalam tugas penyelamatan serta kebajikan mangsa banjir kini membuat persediaan untuk menghadapi bencana alam itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan lokasi, Zon 4 Sibu mencatat jumlah tertinggi dengan 90 lokasi diikuti Zon 6 Miri dengan 78 lokasi.

Zon 2 Samarahan pula mencatatkan sebanyak 61 lokasi berisiko, Zon 1 Kuching sebanyak 54 lokasi, Zon 3 Sri Aman sebanyak 23 lokasi, Zon 7 Limbang dengan 30 lokasi manakala Zon 5 Bintulu sebanyak 13 lokasi.

Sementara itu, sebanyak 77 lokasi dikenal pasti berisiko mengalami tanah runtuh iaitu sebanyak 32 lokasi di Sibu, Sri Aman (19), Limbang (8), Kuching (7), Samarahan (6), Miri (4) dan Bintulu (1).

Selain itu, sebanyak 97 lokasi dikenal pasti berisiko jalan terputus hubungan dengan 42 lokasi di Sibu, Sri Aman (16), Kuching (13), Limbang (10), Samarahan (7), Bintulu (7) dan Miri (2).

Khirudin berkata, seramai 1,398 pegawai dan anggota JBPM Sarawak kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan pihaknya sentiasa memastikan semua aset mereka termasuk 37 bot serta satu helikopter siap siaga untuk digerakkan.

Menurutnya, pihaknya turut menjangkakan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) akan menjadi cabaran utama dalam tugas penyelamatan dan penempatan mangsa banjir.

Ini kerana katanya, ramai yang mungkin mengabai SOP terutamanya penjarakan fizikal berikutan negara ini kini memasuki fasa endemik Covid-19 serta sebahagian besar sudah lengkap vaksinasi.

"Ini dikhuatiri akan menyebabkan orang ramai mengabaikan garis panduan kerana beranggapan situasi Covid-19 tidak membimbangkan dalam fasa endemik.

"Namun bagi JBPM, setiap pegawai dan anggota yang terbabit dalam tugas menyelamat akan dipastikan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap serta kerap mencuci tangan setiap kali bersentuh dengan orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 3:10 PM