DATUK Seri Rina Mohd Harun, ( tengah) ketika menyertai Skuad Principal Bersatu Membantu Membersih Rumah Mangsa Banjir anjuran Bersatu Negeri Selangor & Srikandi Selangor di Kampung Jawa, Hulu Langat.
DATUK Seri Rina Mohd Harun, ( tengah) ketika menyertai Skuad Principal Bersatu Membantu Membersih Rumah Mangsa Banjir anjuran Bersatu Negeri Selangor & Srikandi Selangor di Kampung Jawa, Hulu Langat.
BERNAMA

Sepang: Kira-kira 200 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia terbabit dalam operasi pascabencana di pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah ini dan Klang, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun.

Bercakap selepas menyertai operasi tersebut, Rina berkata, kesemua sukarelawan terbabit ditugaskan di lima PPS di kedua daerah itu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Salak, Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Labu Lanjut, Dewan MPKK Kampung Gincing, Sekolah Rendah Agama Pulau Indah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah.

"Selain membersihkan PPS sekolah yang ditutup, Skuad Keluarga Malaysia juga membantu penduduk membersihkan kediaman masing-masing di sekitar Sepang," katanya.

Skuad Keluarga Malaysia dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Oktober lalu bagi menyelaras semua mekanisme penyampaian bantuan untuk rakyat yang memerlukan di seluruh negara.

Sehingga kini, Skuad Keluarga Malaysia yang diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendapat penyertaan daripada lebih 17,000 sukarelawan di seluruh negara.

Rina berkata, bagi melancarkan kerja pembersihan pascabanjir, pihaknya menggerakkan 3,000 sukarelawan daripada skuad terbabit ke seluruh negara khususnya di lokasi yang teruk dilanda bencana itu.

Katanya, operasi berkonsep 'keseluruhan masyarakat' (whole of society) dan 'keseluruhan kerajaan' (whole of government) itu bertujuan memastikan sumbangan tenaga kerja disalurkan bagi mempercepatkan kerja-kerja pembersihan PPS.

Sementara itu, Guru Besar SK Salak Ishak Noh berkata, beliau berbesar hati apabila sekolah berkenaan dijadikan PPS yang menempatkan kira-kira 50 keluarga mangsa banjir selama enam hari bermula 18 Disember lalu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Rina dan Skuad Keluarga Malaysia yang membantu pihaknya membersihkan setiap kelas di sekolah terbabit memandangkan murid akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 1:43 PM