DR Pau Kee (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Dr Noraini di Surah Al-Falad, Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO ihsan UPSI
DR Pau Kee (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Dr Noraini di Surah Al-Falad, Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO ihsan UPSI
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggerakkan 220 sukarelawan bagi menyantuni mangsa banjir di beberapa lokasi.

Ia membabitkan 130 penuntut dan 90 kakitangan daripada beberapa pusat tanggungjawab dan persatuan universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, selain menyampaikan sumbangan, UPSI menggerakkan sukarelawan bersama ResQ Team yang dibentuk beberapa tahun lalu untuk bertindak proaktif turun ke kawasan dilanda banjir membantu membersihkan rumah mereka.

"Beberapa persatuan membabitkan kakitangan dan penuntut digerakkan ke lokasi banjir untuk membantu mencuci rumah mangsa selain menyampaikan sumbangan.

"UPSI berganding bahu bersama universiti awam lain mencuci rumah mangsa banjir yang dipenuhi lumpur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, pihaknya menerima barangan keperluan daripada penyumbang untuk diberikan kepada mangsa banjir, antaranya bantal, tuala mandi, tilam, tuala wanita, lampin pakai buang, susu bayi dan makanan kering.

"Pusat Kaunseling UPSI diketuai Pengarah, Dr Pau Kee turut menggerakkan kempen supaya orang ramai dapat menyumbang, sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan.

""Beliau bersama sukarelawan menyampaikan sendiri sumbangan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Surah Al-Falad, Taman Sri Muda," katanya.

Katanya, esok, UPSI akan menghantar sumbangan kepada 29 keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) dan PPS Dewan Bandaran Teluk Intan.

Selain itu, Kesatuan Pegawai Am (KPA) UPSI bersama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) juga menggerakkan 30 sukarelawan ke Hulu Langat untuk mencuci tujuh rumah mangsa banjir.

Seramai 388 penuntut UPSI terkesan dengan musibah banjir turut mendapat simpati universiti untuk disalurkan sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 8:43 PM