HABIBAH (kanan)  menyampaikan pakaian terpakai kepada wakil penduduk Kampung Chinggong. FOTO ihsan pembaca
HABIBAH (kanan) menyampaikan pakaian terpakai kepada wakil penduduk Kampung Chinggong. FOTO ihsan pembaca
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Kumpul pakaian terpakai di Pusat Pembelajaran dan Pengasingan Barang Kitar Semula (3R) sebelum disumbangkan kepada golongan memerlukan termasuk mangsa banjir.

Itu usaha dilakukan ibu tunggal, Habibah Yaakob, 60, yang aktif membantu golongan memerlukan sejak awal April lalu.

Terbaharu, pusat berkenaan terletak di Taman Bandar di sini, menyumbang pakaian terpakai kepada mangsa dilanda banjir di Kampung Chinggong baru-baru ini.

Habibah berkata, sumbangan berkenaan dibuat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Muallim dan secara terus kepada wakil penduduk kampung itu.

"Semua pakaian yang disumbangkan oleh penduduk setempat sudah pun diasingkan mengikut kategori jantina, umur dan jenis pakaian yang dimasukkan ke dalam kotak.

"Cara ini memudahkan saya untuk memenuhi keperluan dan permintaan mereka yang memerlukan terutama semasa menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Chinggong," katanya tadi.

Difahamkan, kerja-kerja pengasingan pakaian terpakai dibantu sukarelawan dikalangan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Semua pakaian diasingkan dan dimasukkan ke dalam kotak khas bagi memudahkan kerja mengagihkan sumbangan kepada golongan sasar.

"Saya gembira di atas usaha ini yang mampu memberi manfaat kepada golongan memerlukan apatah lagi selepas dilanda musibah.

"Pusat ini sentiasa mengalukan sesiapa sahaja yang mahu menyumbang pakaian terpakai atau apa-apa sahaja barangan yang masih boleh digunakan," katanya.

Habibah berkata, dianggarkan kira-kira 30 tan pakaian terpakai diterima sejak pusat berkenaan beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 2:31 PM