MRA akan meneruskan usaha membantu mangsa banjir bagi tempoh dua hingga tiga bulan lagi. FOTO ihsan MRA
MRA akan meneruskan usaha membantu mangsa banjir bagi tempoh dua hingga tiga bulan lagi. FOTO ihsan MRA
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Malaysian Relief Agency (MRA) akan meneruskan bantuan mangsa banjir dalam tempoh antara dua atau tiga bulan lagi kerana impaknya adalah meluas.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, berdasarkan laporan terkini dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara, Melaka, Johor dan Pahang masih berada di dalam keadaan berjaga-jaga akibat banjir.

"Hampir 3,600 mangsa masih ditempatkan di 48 pusat pemindahan sementara (PPS) dan menunggu banjir surut. Kebanyakan mangsa banjir pulang ke rumah khususnya di kawasan Lembah Klang.

"Justeru itu, MRA terus melaksanakan operasi menghantar bantuan kepada mereka yang terkesan dengan musibah ini di seluruh negara sejak banjir bermula.

"Sehingga hari ini, MRA beroperasi di 133 lokasi membabitkan sembilan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dan Sabah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Daud berkata, bantuan dihulurkan dianggarkan bernilai RM1.2 juta yang berupa bantuan bantuan makanan, sumbangan barangan bantuan banjir, barangan mencuci, perubatan, pakaian, perkhidmatan klinik bergerak dan mencuci rumah.

Beliau berkata, MRA menggerakkan lebih 2,800 sukarelawan di seluruh negara untuk melaksanakan program yang memberi manfaat kepada 35.000 mangsa banjir.

"Program 'Cuci-cuci Celcom – MRA' yang digerakkan di seluruh negara membersihkan lebih 170 rumah dan 15 bangunan komuniti yang ditenggelami air.

"Sebanyak 15 generator, 15 pam air dan 30 jet air serta ratusan kit kelengkapan mencuci ditaja Syarikat Celcom Axiata Sdn Bhd kepada MRA untuk memudahkan pelaksanaan program cuci cuci ini diadakan di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, hampir 20,000 pek makanan diedarkan kepada mereka yang terkesan di dalam bentuk makanan panas bermasak, pek segera dan pek makanan bulanan mengikut kesesuaian.

Menurutnya, ketika banjir sedang memuncak, MRA melaksanakan program dapur komuniti yang menyediakan 2,000 pek makanan bermasak setiap hari untuk diedarkan ke PPS terbabit.

Katanya, selain itu, bantuan barangan bukan makanan seperti toto, bantal, kit kebersihan membabitkan kelengkapan diri, kit solat, tuala wanita dan lampin kanak kanak dan dewasa diedarkan kepada orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 11:47 PM