KEADAAN banjir di Bukit Changgang. FOTO BERNAMA
KEADAAN banjir di Bukit Changgang. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sepang: Tiada lagi jalan raya di daerah ini ditutup akibat terjejas banjir manakala penduduk di kawasan yang masih digenangi air dibelenggu kerisauan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Ekoran banjir pada 18 Disember lalu, beberapa laluan utama di daerah ini terpaksa ditutup kerana dinaiki air.

Antaranya Jalan Kota Warisan menghala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jalan Labu Lanjut, Jalan Bukit Changgang, Jalan Salak dan Jalan Kampung Ginching.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi hari ini mengesahkan tiada lagi jalan raya ditutup dan jalan Simpang Kewa dan Simpang Semarang juga kembali dibuka kepada semua kenderaan sejak semalam.

Tinjauan di beberapa laluan seperti Jenderam, Kota Warisan dan jalan menghala Banting dan Dengkil yang sebelum ini ditutup kerana dinaiki air sudah boleh dilalui kenderaan namun keadaan jalan kotor serta berlumpur.

Wan Kamarul Azran berkata, IPD Sepang turut meningkatkan pemantauan terhadap kereta yang tersadai akibat banjir bagi mengelakkan kes curi kenderaan.

Dalam pada itu, tinjauan di Kampung Sri Tanjung, Dengkil mendapati, kawasan berkenaan masih mengalami banjir genang yang airnya tidak surut walaupun cuaca panas selama dua hari hingga menimbulkan kerisauan penduduk perkampungan itu.

Azlimi Ayub, 40, berkata, kawasan itu berisiko untuk dinaiki air semula kerana terletak berhampiran Sungai Langat.

"Naik seriau dengan cuaca mendung hari ini. Tengok langit gelap macam nak hujan memang buat saya risau sebab paras air setinggi lutut masih tidak surut sejak dua hari lepas walaupun cuaca elok. Dengan air genang ini, memang risiko air akan melimpah jika hujan lebat," katanya.

Penduduk kelihatan berusaha kembali ke rumah dengan meredah air separas lutut untuk melihat kerosakan harta benda.

Kebanyakan rumah dipenuhi selut dan lumpur malah barangan elektrik, perabot dan sampah kelihatan terapung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 4:39 PM