GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


Sepang: Pelajar lelaki maut selepas motosikal ditunggang merempuh seekor kerbau di Jalan Dengkil Air Hitam, Dengkil, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, pelajar berusia 16 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa yang menunggang seorang diri dalam perjalanan dari arah Dengkil ke rumah di Taman Dengkil Jaya.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian mangsa tidak sempat mengelak seekor kerbau yang secara tiba-tiba melintas dan terlanggar haiwan berkenaan.

Katanya, motosikal yang ditunggang mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan ketika kejadian mangsa memakai topi keledar namun tidak memiliki lesen memandu.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai paramedik akibat kecederaan pada bahagian kepala dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat dan ujian Covid-19," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, motosikal mangsa dibawa ke IPD Sepang untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 12:17 PM