Samadi Ahmad


Sepang: Pemandu kereta yang tidak berhenti di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 47.8, Jalan Pintasan Dengkil (dari arah Cyberjaya ke Dengkil) pada Sabtu lalu sudah menyerah diri semalam.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berumur 21 tahun itu menyerah diri pada 8 malam selepas abangnya hadir ke balai polis membuat laporan pada 6.30 petang.

Beliau berkata, semasa membuat laporan abang suspek memaklumkan adiknya tidak berhenti di SJR kerana lesen tamat tempoh.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan lesen memandu tamat tempoh pada 9 Januari 2021.

"Pemandu terbabit dikenakan saman atas kesalahan memandu kenderaan dengan lesen tamat tempoh," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Semalam video kenderaan melanggar SJR itu tular di media sosial.

Video berdurasi kira-kira 30 saat itu memaparkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Lexus berwarna hitam memecut laju selepas diarahkan berhenti di SJR oleh anggota bertugas.

Wan Kamarul berkata, tindakan pemandu memecut kenderaan itu hampir melanggar seorang anggota.

Katanya, semasa kejadian nombor pendaftaran kenderaan itu gagal dikesan disebabkan dipandu dalam keadaan laju.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

RAKAMAN menunjukkan suspek melarikan diri selepas diarahkan berhenti. FOTO tular
RAKAMAN menunjukkan suspek melarikan diri selepas diarahkan berhenti. FOTO tular

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 12:08 PM