Muhammad Razlan memasang baju di bumbung rumahnya untuk dijadikan bendera bagi menarik perhatian pihak berkuasa selepas terperangkap lebih 24 jam. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Razlan memasang baju di bumbung rumahnya untuk dijadikan bendera bagi menarik perhatian pihak berkuasa selepas terperangkap lebih 24 jam. FOTO ihsan pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi


Shah Alam: "Sehingga sekarang saya masih belum berjaya keluar ke tempat lebih selamat selepas terperangkap di dalam rumah yang ditenggelami air.

"Saya terpaksa mengibar baju di atas bumbung bagi menarik perhatian pasukan penyelamat datang membantu kami," kata pensyarah, Muhammad Razlan Ahmad, 36.

Muhammad Razlan salah seorang mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, yang terperangkap di dalam rumah teres dua tingkat.

Dia dan keluarganya sehingga kini masih belum berjaya pindah ke tempat lebih selamat.

Menurutnya, dia bersama isteri dan tiga anaknya berusia setahun empat bulan hingga tujuh tahun berada di tingkat dua rumah itu selepas bahagian bawah dinaiki air.

"Banjir kali ini paling teruk kerana sebelum ini jika banjir air tidak terlalu tinggi dan cepat surut. Dua kereta saya juga tenggelam dan tidak dapat diselamatkan.

"Bekalan elektrik juga sudah dipotong sejak semalam dan lebih membimbangkan air di dalam tandas di tingkat dua sudah bertakung," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, dia berharap pihak berkaitan dapat segera menyelamatkan dia sekeluarga untuk berpindah ke tempat lebih selamat.

Banjir di kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam. FOTO ihsan pembaca
Banjir di kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam. FOTO ihsan pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 11:02 AM