RM1.03 juta dadah pelbagai jenis dirampas, polis tumpaskan sindiket tempatan sasar edaran Lembah Klang dalam serbuan di Brickfields, Shah Alam serta Bandar Baru Seri Petaling, di sini, pada Selasa dan Rabu lalu.
RM1.03 juta dadah pelbagai jenis dirampas, polis tumpaskan sindiket tempatan sasar edaran Lembah Klang dalam serbuan di Brickfields, Shah Alam serta Bandar Baru Seri Petaling, di sini, pada Selasa dan Rabu lalu.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dirampas susulan penahanan enam individu termasuk seorang wanita tempatan dalam serbuan di Brickfields, Shah Alam serta Bandar Baru Seri Petaling, di sini, pada Selasa dan Rabu lalu.

Dalam serbuan dilakukan menerusi Ops Nekkar dan Carmill itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kuala Lumpur menahan suspek berkenaan berusia antara 22 hingga 37 tahun.

Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, hasil serbuan pihaknya merampas bud ganja (bunga) seberat 4.55 kilogram (kg) bernilai RM445,520; daun kering dipercayai ganja (0.72 kg); tujuh biji benih pokok ganja (0.67 gram) dan lapan pokok ganja.

"Turut dirampas serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 8.9 kg bernilai RM446,600; 558 botol cecair MDMA dengan harga RM150 sebotol; ketamin (63 gram), 190 pil ekstasi dan 120 pil Erimin 5.

"Sebuah kereta Mercedes Benz C180 Sport dan sebuah motosikal KTM 390 DUKE dengan nilai keseluruhan RM95,000 turut disita bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Ops Nekkar, katanya, serbuan dilakukan jam 10 pagi pada 14 Disember lalu di sebuah residensi mewah di Pantai Dalam dan berjaya menahan seorang lelaki.

Hasil soal siasat, katanya, polis menahan seorang lagi lelaki di sebuah kediaman di residensi itu.

"Seterusnya, polis dapat menahan dua lelaki masing-masing di sebuah rumah di Shah Alam dan pasar raya Kerinchi, dekat Brickfields kerana disyaki terbabit sindiket dadah.

"Hasil tangkapan empat lelaki itu, kita rampas daun, pokok, benih dan bud ganja dengan nilai keseluruhan RM491,520. Modus operandi adalah mereka menjual bud ganja yang bernilai tinggi di pasaran.

"Suspek aktif di Lembah Klang sejak tiga bulan lalu menggunakan unit residensi mewah dengan sewaan RM4,500 sebulan," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati benih ganja diimport dari luar negara dan suspek menggunakan teknologi canggih untuk menanam dan menjaga pokok ganja.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah tetrahydrocannabinols (THC), manakala dua suspek mempunyai rekod jenayah serta dadah.

Mengulas serbuan Ops Carmill di sebuah residensi di Bandar Baru Seri Petaling jam 12.05 tengah malam Rabu lalu pula, Sahar berkata, penahanan seorang lelaki dan seorang wanita membawa kepada penemuan sebuah premis di kawasan sama yang dijadikan stor dan tempat memproses dadah.

"Hasil serbuan kita menemui MDMA, ketamin, pil ekstasi dan Erimin 5 dengan nilai keseluruhan RM545,325. Dadah itu dipercayai untuk dijual di premis hiburan dan boleh dibekalkan kepada 19,416 pengguna.

"Siasatan turut mendapati sindiket itu beroperasi sejak enam bulan lalu dan menggunakan premis kondominium mewah dengan kawalan keselamatan ketat untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 9:19 PM