Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis berjaya membongkarkan aktiviti pemprosesan dadah di sebuah rumah kedai yang dijadikan makmal mini di Puchong serta merampas dadah berjumlah RM8.09 juta, 22 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, makmal mini itu antara enam lokasi yang diserbu secara serentak termasuk di Gombak dalam operasi bersama pasukan JSJN Bukit Aman dan JSJN Selangor.

"Dalam serbuan di antara 12.10 tengah hari hingga 4.30 petang itu, 10 lelaki tempatan berusia 22 hingga 42 tahun turun ditahan di enam lokasi terbabit.

"Siasatan awal mendapati, kesemua suspek dipercayai terbabit dengan aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah heroin dan pil ekstasi di sekitar Lembah Klang.

"Hasil serbuan itu, polis berjaya merampas sejumlah 19.7 kilogram dadah 'heroin base', 43.1 kg dadah heroin, 3.2 kilogram pil ekstasi dan 110 kg serbuk dadah MDMA dengan anggaran nilai RM8.09 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, petang hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Razarudin berkata, siasatan mendapati bekalan dadah terbabit dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

Razarudin (dua kanan) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPK Selangor. FOTO Aziah Azmee
Razarudin (dua kanan) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPK Selangor. FOTO Aziah Azmee

Katanya, pihaknya turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai RM2.039 juta.

"Dalam serbuan itu, polis turut menyita aset kumpulan sindiket itu membabitkan 10 jenis pelbagai kenderaan, barang kemas, saham, tindakan beku akaun dan wang tunai.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM10,129,237.55.

"Operasi serbuan dan rampasan itu berjaya menyelamatkan kira-kira 1.8 juta anak bangsa dari terjebak dengan penagihan dadah," katanya.

Beliau berkata, saringan awal mendapati, salah seorang dari suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin.

"Semakan rekod jenayah pula mendapati, lapan suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan suspek direman selama lima hingga 11 hari bermula 23 November lalu bagi membantu siasatan.

"JSJN akan terus mengesan saki baki ahli sindiket yang terbabit untuk diheret ke muka pengadilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 6:47 PM