ANTARA rampasan polis dalam  serbuan di Bukit Tambun.
ANTARA rampasan polis dalam serbuan di Bukit Tambun.
Hadzlihady Hassan


GEORGETOWN: Tindakan seorang lelaki menggunakan khidmat kurier untuk menghantar bekalan syabu gagal selepas berjaya dijejaki dan ditahan di sebuah premis di kawasan Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan, Selasa lalu.

Sebelum itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sudah merampas 10 bungkusan plastik mengandungi 10,000 gram syabu yang dipercayai mahu dihantar ke Sabah melalui kurier.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ((JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, susulan rampasan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun dalam dua serbuan di Bukit Tambun antara jam 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang dan merampas sejumlah dadah.

“Dalam serbuan itu, kami merampas syabu 17,522 gram, 23,606 pil ekstasi dan 1,001 gram serbuk MDMA yang dianggarkan bernilai RM2.22 juta.

“Sebuah motosikal jenis Modenas D400 bernilai RM12,000 turut disita,” katanya.

Menurutnya, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 5:30 AM