PETUGAS perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 Sinovac kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya. FOTO Arkib NSTP
PETUGAS perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 Sinovac kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya. FOTO Arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Pulau Pinang antara enam negeri teratas mendapatkan suntikan vaksin penggalak Covid-19 selepas hampir sebulan berada di kedudukan lima terendah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin, berkata peningkatan kadar suntikan itu didorong dengan pertambahan fasiliti kesihatan yang menawarkan suntikan dos penggalak dan kebenaran penggunaan vaksin jenama Sinovac.

Katanya, sehingga kini terdapat 114 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dos penggalak membabitkan klinik swasta dan PPV Offsite yang giat memberikan suntikan.

"Dengan pertambahan fasiliti ini membolehkan kadar suntikan dos penggalak ditingkatkan yang mana ada permintaan daripada klinik swasta untuk menambah bekalan berikutan jumlah dos seminggu yang diberikan sebelum ini tidak mencukupi apabila ia habis digunakan dalam tempoh tiga hari sahaja.

"Selain itu, keputusan membenarkan Sinovac juga disambut dengan lega oleh mereka yang mahukan vaksin jenama itu, walaupun setiap PPV hanya ada 20 peratus sahaja vaksin berkenaan memandangkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mahu vaksin Pfizer sebagai pilihan utama kerana keberkesanan perlindungannya lebih tinggi ," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jelasnya, PPV Offsite yang dibuka di dewan besar juga membantu meningkatkan kapasiti pemberian dos penggalak di negeri ini.

Setakat semalam, kadar suntikan harian dos penggalak yang direkodkan di negeri itu adalah sebanyak 10,505 dos dengan kumulatif 197,485.

Media sebelum ini melaporkan Pulau Pinang merekodkan antara lima negeri terendah mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Ia berikutan hampir 40 peratus yang menerima janji temu bagi mendapatkan dos penggalak didapati tidak hadir ke fasiliti kesihatan.

Selain itu, ada yang enggan untuk menerima vaksin penggalak jenama lain daripada yang diterima mereka pada suntikan pertama dan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 5:40 PM