Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Perunding perniagaan akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan terhadap pengembara yang ingin ke luar negara apabila perlu mendapatkan suntikan dos penggalak kedua Covid-19.

G Mani Kandan, 34, berkata, dia perlu menyelesaikan satu urusan perniagaan di Jerman pada bulan hadapan.

Menurutnya, undang-undang negara itu pula sudah tidak membenarkan mereka yang mengambil vaksin selain daripada Pfizer dan AstraZeneca (AZ) untuk masuk atas faktor keselamatan.

"Saya pula adalah penerima vaksin Sinovac dan walaupun sudah disuntik vaksin penggalak Pfizer namun ia masih tidak diterima di negara itu kerana bukan dalam kalangan penerima primer Pfizer atau AZ.

"Untuk menjadikan saya penerima primer, satu lagi dos penggalak perlu diambil menjadikan saya kini sudah mengambil empat suntikan vaksin Covid-19.

"Ia bukan menjadi masalah untuk saya dan tidak ada sedikit pun keraguan kerana bagi saya vaksin bukan perkara yang memudaratkan tetapi melindungi kita dari dijangkiti wabak atau mengurangkan risiko jangkitan," katanya ketika ditemui selepas mengambil suntikan dos penggalak kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite, Tapak Eskpo Seberang Jaya di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Sementara itu, rakannya, P Nauta Kumar, 41, berkata, dia juga turut mengambil dos penggalak kedua Covid-19 kerana akan turut serta dalam trip perniagaan bersama Mani Kandan.

"Mujur ketika dos penggalak pertama hari itu saya menolak Sinovac, jika tidak pasti akan jadi masalah kerana kebanyakan negara di Eropah sudah mula mengubah SOP untuk menerima pengembara.

"Jadi, bagi sesiapa yang ingin ke luar negara perlu menyemak terlebih dahulu dengan negara yang ingin ditujui supaya tidak ada masalah.

"Bagi saya lebih baik ambil sahaja dos penggalak ini sebagai langkah berjaga-jaga. Jangan risau dan tidak percaya kepada khabar angin kerana sekarang pun sudah dapat lihat keberkesanan vaksin ini," katanya.

Sementara itu, jurucakap PPV berkenaan, Dr Navin Tangasami berkata, pihaknya mula penerima individu yang ingin mengambil suntikan dos penggalak kedua secara 'walk in' sejak semalam dengan mengemukakan dokumen perjalanan untuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terlebih dahulu.

"Buat masa ini, suntikan dos penggalak kedua ini hanya terbuka untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas sahaja.

"Namun, untuk 60 tahun ke bawah mereka perlu mengemukakan dokumen untuk pihak kami mendapatkan pengesahan dari JKN sebelum memulakan proses suntikan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 3:32 PM